Allah SWT telah menjadikan susu ibu sebagai susu yang
terbaik sebagai makanan utama bayi. Banyak bukti saintifik membuktikan
kelebihannya berbandingan dengan susu formula, sama ada yang berasakan susu
lembu atau soya.
Susu ibu menepati fitrah bayi yang masih belum matang untuk
menghadamkan pemakanan mereka. Dalam Islam juga, susu ibu adalah pilihan
terbaik. Dalam Al-Quran, kita telah diberikan arahan seperti berikut:
“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun
penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan” (Surah Al-Baqarah : ayat
233)
Begitu juga dalam ayat lain, Allah SWT telah memberitahu:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu
bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan
(dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya
ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan
kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk
menerima balasan).” (Surah Luqman: ayat 14)
Memang tidak dapat dinafikan bahawa susu ibu adalah susu
yang lengkap nutrisi untuk kebaikan bayi, tidak dapat ditandingi oleh susu
formula sama ada susu berasaskan susu lembu atau soya.
Menurut Akademi Pediatrik Amerika, susu ibu merupakan sumber
makanan yang terbaik bagi bayi berumur satu tahun ke bawah, diikuti dengan susu
formula berasakan susu lembu dan diikuti oleh susu soya.
Academi Pediatrik Amerika juga manasihatkan agar bayi
diberikan susu ibu secara ekslusif sekurang-kurangnya sehingga berumur enam
bulan, dan diberikan susu ibu bersama dengan makanan pejal yang lembut secara
berperingkat-peringkat sehingga berumur setahun.
Adalah lebih baik jika bayi dapat disusukan sehingga berumur
2 tahun. Sayangnya ramai ibubapa yang masih memilih susu formula kerana
pelbagai alasan.
Kajian di Amerika pada tahun 2008, mendapati seramai dua
pertiga dari bayi di Amerika diberikan susu ibu sehingga berumur enam bulan, kemudian
seramai tiga perempat dari mereka menukarkan kepada susu formula setelah
mencapai umur enam bulan.
Sementara satu perlima dari bayi di Amerika diberikan susu
formula yang berasaskan soya.
Oleh kerana susu formula tidak dapat menyamaikan kebaikan nutrisi
yang dibekalkan oleh susu ibu, hampir semua pengeluar susu formula
berlumba-lumba menghasilkan susu formula yang dikatakan lebih bermanfaat untuk
menandingi susu ibu.
Sebagai contoh pengeluar susu formula menambahkan lemak asid
(fatty acids) docosahexaenoic acid (DHA) dan arachidonic acid (AA) untuk
menyamai kandungan nutrisi susu ibu bagi meningkatkan perkembangan minda bayi.
Tetapi kebanyakan pengkaji mendapati bahawa penambahan DHA
dan AA dalam susu formula tidak memberikan kesan yang baik untuk perkembangan
minda berbanding dengan susu ibu.
Dr. Ahmad Qawasmi telah menggabungkan 12 kajian yang
diperolehi dari Yale University, Connecticut Amerika Syarikat dan Al-Quds
University di Jerusalem, Palestine untuk membandingkan bayi yang disusukan
dengan susu formula tanpa penambahan asid lemak dengan bayi yang disusukan
dengan susu formula dengan penambahan asid lemak. Kajian ini melibat seramai
1800 bayi dan dilakukan sepanjang tahun 1998-2005.
Dalam kajian ini bayi-bayi ini mula disusukan dengan susu formula
semenjak umur satu bulan dan penilaian dilakukan apabila mereka mencapai umur
setahun untuk menguji perkembangan bahasa, minda dan kemahiran motor.
Mereka mendapati susu formula berasaskan soya dan susu lembu
ditambahkan dengan DHA dan AA, tidak dapat menandingi kebaikan susu ibu. Dalam
kajian itu menunjukkan tiada perbezaan antara perkembangan minda seperti bahasa
dan kebolehan berfikir.
Ini tidak bermakna bahawa asid lemak yang dibekalkan tidak
mempunyai faedah, tetapi faedah yang diperolehi tidak menyamai bayi yang
diberikan susu ibu. Lemak asid yang ditambah mungkin memberikan kebaikan kepada
perkembangan penglihatan (mata) dan daya tahan melawan penyakit.
2. Susu ibu mempunyai
skor yang tinggi pada ujian kemahiran pergerakan (psychomotor) pada umur enam
bulan berbanding dengan susu formula.
3. Bayi yang
disusukan ibu mempunyai skor penguasaan bahasa yang lebih tinggi pada umur tiga
dan enam bulan.
Oleh itu susu ibu
haruslah dianggap sebagai susu yang terbaik, walaupun pengeluar susu formula
berusaha untuk menandinginya dengan menambah pelbagai nutrisi yang lain.
Rujukan:
1. Jelliffe, Derrick B., and E. F. Patrice Jelliffe. Human Milk in the Modern World. Oxford and New York: Oxford University Press, 1978.
2. Precht, D and J.Molkentin C18:1, C18:2, and C8:3 trans and cis fatty acid isomers including conjugated cis delta 9, trans delta 11 linoleic acid (CLA) as well as total fat composition of German human milk lipids, Nahrung 1999 43(4) 233-244
Oleh: Dr Zubaidi